Gua Musang
MUNGKIN ramai tidak mengetahui ada sejarah di sebalik nama Gua Musang. Mengikut cerita lama, ia mempunyai kaitan dengan gua batu kapur yang sudah lama menarik kunjungan ramai pelancong.
Dengan ketinggian lebih 1,200 meter (m) dari aras laut, gua batu kapur itu yang terletak di hadapan Stesen Kereta Api Gua Musang memiliki tarikan semula jadinya tersendiri.
Kunjungan ke bandar ini tidak dianggap lengkap jika tidak meneroka gua batu kapur itu.
Penjelajahan meneroka Gua Musang pasti lebih meriah jika datang bersama rakan dan ahli keluarga.
Mereka yang pernah berpengalaman mendaki pasti mengakui pengalaman getir untuk menempuh perjalanan untuk sampai ke muka gua.
Justeru, aktiviti ini lebih sesuai untuk mereka yang berusia antara 10 dan 50 tahun.
Kecerdasan menjadi rangsangan utama bagi menjayakan pendakian berikutan laluan sempit dari kaki bukit menuju ke pintu gua.
Ekspedisi meneroka gua batu kapur lebih meriah apabila tiba musim cuti sekolah. Kumpulan pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelancong dari luar Kelantan bertumpu ke daerah ini untuk tujuan pendakian.
Pelbagai formasi batu kapur boleh dilihat dalam gua termasuk telaga emas, buah belimbing batu, lubang ular, gendang puteri, bilik persandingan dan kepala gajah.
Bentuk unik dan adakalanya agak aneh ini menjadi tumpuan lensa kamera pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
Menariknya, tiga lubang gua utama terletak di kawasan lebih rendah membolehkan pengunjung melihat pemandangan sebahagian besar bandar Gua Musang.
Dari sini, pengunjung terpaksa meredah perjalanan kira-kira 45 minit untuk sampai ke puncak.
Mengikut cerita penduduk tempatan, pendakian Gua Musang sudah lama dilakukan sejak awal 1930-an lagi.
Rentetan dari itu, lahir kisah pelik dan berbaur mistik berdasarkan pengalaman pendaki yang pernah berkunjung ke sini.
Justeru, seperti tempat lain, pengunjung dinasihatkan tidak membuang air kecil atau besar sebarangan kerana takutkan sebarang kejadian buruk berlaku apabila mereka pulang ke tempat masing-masing.
Kebelakangan ini, cerita mistik ini tidak lagi dihiraukan pengunjung yang kurang mempercayai pantang larang apabila memasuki hutan menyebabkan ada yang ditimpa musibah termasuk sesat ketika mencari jalan pulang menuruni bukit.
Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka perlu membawa jurupandu berpengalaman bagi mengelakkan mereka tersesat. Ini memandangkan keadaan gua yang gelap boleh mengelirukan mereka.
Apabila melepasi kawasan gelap ini, pendaki boleh meneruskan perjalanan melalui denai di belakang gua untuk sampai ke puncak.
Sepanjang perjalanan ini, pengunjung berpeluang melihat pelbagai spesies flora yang jarang ditemui termasuk pokok hutan berusia ratusan tahun.
Lampu picit menjadi barangan terpenting apabila menyertai aktiviti sebegini terutama ketika berada dalam gua yang gelap. Selain itu, ia bagi mengelak pengunjung dari terserempak dengan hidupan liar seperti ular yang banyak mendiami kawasan sekitar gua ini.
Bagaimanapun, ekspedisi ini bukan suatu perkara yang sukar untuk pendaki berpengalaman.
Kepada yang berminat aktiviti meneroka Gua, boleh mencuba ekspidisi di Gua Musang ini yang terletak di negeri Kelantan.
Monday, 21 September 2015
#GUA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment